Rampasan itu membabitkan dadah jenis heroin sebanyak 18.62 kilogram (kg); ketamin (52.7 gram); 200 biji pil ekstasi dan 2,400 biji pil erimin 5.

Turut ditahan ialah lima suspek termasuk seorang wanita yang kesemuanya berusia antara 36 dan 47 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan kereta serta barangan untuk memproses dadah dengan nilai yang disita kira-kira RM71,000.

“Tiga daripada suspek telah direman sehingga esok manakala dua lagi sudah dituduh di mahkamah dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan bera­singan, Thaiveegan memberitahu, polis sedang giat memburu seorang lelaki India yang melarikan diri ketika cuba ditahan sepasukan polis peronda.

Menurutnya, dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 malam tadi di Lebuh Carnavaron di sini, suspek berusia 36 tahun itu dikesan memandu kereta Proton Waja dalam keadaan berbahaya serta melanggar beberapa kenderaan lain.

Ujarnya, suspek bagaimanapun enggan menghentikan kenderaan dan cuba melanggar anggota polis ketika ditahan menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah ken­deraan suspek.

“Suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya selepas memasuki jalan mati di Cangkat Minden di sini. Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dadah serta sebilah parang panjang,” katanya.

Tambah Thaiveegan, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod kesalahan jenayah.