Dadah bernilai lebih RM300,000 itu dipercayai disembunyikan di bawah timbunan jaring sebuah bot gentian kaca yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Pengarah Maritim Operasi Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, dua lelaki di atas bot tersebut bertindak memecut laju bot itu selepas anggotanya mengarahkan untuk berhenti untuk diperiksa.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua suspek tidak dikenal pasti identiti itu berjaya meloloskan diri ke kawasan bakau selepas terjun dari bot berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot tersebut berjaya menemukan sebungkus serbuk mampat disyaki syabu yang bernilai RM300,000 dan 336 pil ekstasi bernilai RM16,800.

“Kesemua dadah itu disembunyikan di bawah timbunan jaring dipercayai ketika menuju ke arah Indonesia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah. - UTUSAN ONLINE