Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 42 tahun itu ditahan dalam operasi sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Jempol dan anggota dari Balai Polis Ladang Geddes di sini.

Katanya, dalam serbuan pada pukul 11.35 malam itu, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang tidak bekerja kerana disyaki mengedar dadah di kebun getah yang dikenali sebagai ‘Pot Simpang Y.’

“Ketika serbuan, lelaki berkenaan bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap. Polis turut menahan empat lelaki yang dipercayai penagih dadah di kawasan tersebut.

“Kira-kira 30 minit selepas itu, polis memberkas seorang lagi lelaki yang datang ke lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, sebanyak 6.4 gram heroin ditemukan pada suspek pertama manakala 36.8 gram heroin lagi dirampas daripada suspek terakhir yang memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, kesemua suspek disahkan positif dadah dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE