Ketua Polis Negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam serbuan pada pukul 11.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memeriksa 225 individu.

Menurutnya, parti itu diadakan di tingkat tujuh sebuah hotel di sini ketika semua pe­ngunjung sedang berhibur dengan muzik yang kuat.

Katanya, polis memeriksa 225 pengunjung dan 62 daripadanya positif pelbagai jenis dadah.

“Selain itu, seorang lelaki turut ditahan dipercayai memiliki dadah jenis ekstasi.

“Polis turut menemukan tujuh biji dadah yang sama dan ganja seberat 33.5 gram di atas lantai dan tandas,” katanya dalam kenya­taan hari ini.

Menurut Hasnan, penganjur dipercayai mengatur penganjuran parti rahsia itu menerusi aplikasi WhatApps, WeChat dan Instagram untuk mempromosikan kegiatan tersebut.

Katanya, mereka menjual tiket pada harga RM58 untuk tempahan awal atau RM78 sewaktu hari parti rahsia itu diadakan.

Katanya, difahamkan pengan­jur telah beberapa kali menganjurkan parti tersebut di Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan memilih apartmen atau banglo untuk acara itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi suspek yang positif ujian air kencing dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi suspek memiliki pil ekstasi.

Polis turut menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) akta sama ekoran penemuan ganja dan pil ekstasi di atas lantai serta tandas.