Ketua Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand (NSB), Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk berkata, dua lelaki berumur 49 dan 34 tahun itu dipercayai anggota sindiket dadah transnasional ditangkap di sebuah rumah di selatan sempadan Hatyai kira-kira pukul 6.30 petang (waktu tempatan).

“Dua lelaki Malaysia itu ditahan ketika sedang memunggah dadah daripada lori itu ke sebuah rumah di Hatyai,” katanya kepada Bernama di sini dan menambah bahawa polis turut menahan seorang lelaki Thailand berumur 45 tahun yang disyaki rakan subahat tempatan sindiket itu.

Menurut Sommai, rakyat Malaysia datang ke Hatyai untuk mengambil dadah sebelum cuba menyeludupnya ke sempadan Malaysia.

Ujarnya, usaha mengesan anggota lain sindiket dadah transnasional itu bermula selepas pihak berkuasa menghentikan lori berkenaan di pusat pemeriksaan keselamatan di Chumphon kira-kira 1.30 pagi (waktu tempatan semalam) dan menemukan dadah disembunyikan di sebalik buah-buahan tersebut.

“Pihak berkuasa bagaimanapun tidak merampas dadah itu, sebaliknya membenarkan pemandu lori yang membawa dadah itu meneruskan perjalanannya ke Hatyai, dengan anggota polis menyamar mengekori de­ngan jarak selamat.

“Mereka (polis) memutuskan untuk membiarkan pemandu meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju (Hatyai) kerana mereka mahu menangkap anggota lain sindiket itu,” katanya.

Sommai memberitahu, sebaik sahaja lori terbabit tiba di Hatyai untuk menurunkan muatan ha­ram itu, anggota polis yang menya­mar menunggu dengan sabar sebelum bertindak menahan rakyat Malaysia dan warga Thailand itu.

Jelasnya, polis akhirnya menangkap dua rakyat Malaysia berkenaan ketika mereka sedang sibuk memunggah dadah ke rumah itu dan rampasan 700kg ice merupakan antara kejayaan terbesar agensi itu tahun ini.

“Sindiket itu merancang untuk menyeludup dadah ke Malaysia melalui Sadao dan pihaknya telah memberitahu pihak berkuasa Malaysia mengenai penahanan dua lelaki Malaysia itu semalam.

“Lelaki Thailand yang mana pihak berkuasa percaya merupakan anggota tempatan sindiket itu cuba melarikan diri dengan trak pikapnya apabila polis ingin menahannya namun gagal berbuat demikian,” katanya.

Tambah Sommai, pihak ber­kuasa juga merampas beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang digunakan dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. – BERNAMA