NUR JAZLAN MOHAMED

Yang Dipertua Persatuan Men­cegah Dadah Malaysia (Pema­dam), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, AADK kini telah meminta bantuan Pemadam bagi menyelesaikan masalah ber­kenaan dalam usaha menjadikan sekolah sifar dadah.

“Kami akan menganjurkan sebuah program pada bulan hadapan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 500 sukarelawan dalam kalangan mahasiswa yang akan dilatih oleh pihak AADK berhubung pencegahan dadah.

“Apabila mereka sudah terlatih, mereka akan pergi ke universiti masing-masing dan akan melatih pula mahasiswa yang lain bagi menjadikan kumpulan pencegah dadah ini semakin besar serta turun ke sekolah-sekolah untuk memberikan pendedahan berhubung masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Kelab Mahasiswa Pemadam Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pemba­ngunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya juga sudah mempunyai satu tindakan kerja yang terancang bagi mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) telah meluluskan RM5 juta kepada Pemadam dengan tujuan menjalankan aktiviti pencegahan dadah dan kami diberi indeks prestasi utama (KPI) bagi menurunkan statistik penagihan dadah,” kata­nya.

Dalam pada itu, beliau memberi­tahu, Pemadam dalam perancangan untuk mewujudkan jawatan Naib Pengerusi Remaja (mereka yang berusia bawah daripada 30 tahun) dalam masa terdekat ini.

“Pemadam berhasrat mewujudkan remaja-remaja baharu dalam proses peremajaan Pema­dam itu sendiri kerana sudah sampai masa kita melihat masa depan.

“Kita mahu melihat supaya usaha mencegah penyalahgunaan dadah akan ada kesinambungan dan dengan itu Pemadam memerlukan tenaga baharu iaitu golong­an pelajar IPT supaya mereka kekal menjadi aktivis mencegah dadah,” ujarnya.