Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, operasi yang melibatkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Tampin itu diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

"Dalam operasi itu, polis berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 93.80 gram daripada dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah. Mereka ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Seramai 10 orang lagi termasuk seorang wanita berusia 34 tahun disyaki penagih dadah turut diberkas. Mereka yang ditangkap adalah penduduk tempatan dan ada yang datang dari Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. - UTUSAN ONLINE