Kesemua suspek lelaki yang berusia 14, 22 dan 23 tahun ditahan di hadapan rumah mereka antara pukul 8 hingga 10.30 malam tadi oleh sepasukan polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, jiran mereka yang merupakan warga Bangladesh berusia 27 tahun mendakwa rumahnya dimasuki suspek kira-kira pukul 3 petang semalam.

“Suspek bertindak memecahkan kunci pintu hadapan rumah mangsa lalu meminta lelaki itu menyerahkan wang.

“Ketiga-tiga suspek kemudian mula menyelongkar dan mengambil barangan yang terdapat di dalam rumah termasuk duit RM10 yang disorok di bawah tilam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, difahamkan mangsa turut mengenali salah seorang daripada suspek yang juga merupakan jirannya sebelum membuat laporan polis.

“Hasil semakan dilakukan mendapati suspek berusia 23 dan 22 tahun mempunyai rekod kesalahan membabitkan jenayah pecah rumah, mencuri dalam bangunan dan dadah.

“Kedua-dua mereka kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Suspek termuda yang berusia 14 tahun bagaimanapun tidak ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE