Daripada 15 geng tersebut, masing-masing empat dilumpuhkan semasa fasa pertama dan kedua Ops Lejang Khas manakala baki tujuh lagi ahli kumpulan ditum­paskan dalam fasa ketiga yang bermula sejak Jun lalu, apabila tertangkapnya 95 individu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil operasi khas tersebut, pihaknya berjaya menurunkan sehingga 50 peratus kes kecurian berbanding nisbah sebelum ini iaitu antara tiga hingga ke empat kes sehari.

Jelasnya, antara kawasan yang sebelum ini diklasifikasikan ‘hitam’ adalah di sekitar pangsapuri Seksyen 7, Uptown Seksyen 24, Setia Alam, Seri Muda, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 14 tetapi kini semuanya berjaya diputihkan dalam masa singkat.

“Terbaharu, kita berjaya menumpaskan tujuh geng dalam fasa ketiga Ops Lejang Khas iaitu Geng Henry 16, Geng Kamal 3B, Geng Irfan LC, Geng Watiq Johan Setia, Geng Ateem Puncher, Geng Kiman Ken Rimba dan Geng Lidud 20 selain menahan 23 suspek.

“Dalam operasi ini (fasa ketiga) polis turut merampas 22 buah motosikal pelbagai model, tiga rangka, lima enjin serta beberapa komponen motosikal yang bernilai kira-kira RM200,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berumur antara 17 hingga 35 tahun dengan enam daripada mereka telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379 A, 411, 414 serta 29 (1) A Kanun Keseksaan dan beberapa lagi diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Baharuddin memberitahu, motosikal yang dicuri itu selain dileraikan untuk dijual komponennya, geng terbabit menjualnya secara sebuah pada harga RM700 dengan menyasarkan warga asing serta kumpulan remaja sebagai pembeli.

“Setakat maklumat kita peroleh mereka bergerak secara sendiri serta tidak melibatkan mekanik yang mengusahakan bengkel secara sah dan ada dalam kalangan geng ini juga saling bekerjasama antara satu sama lain,” jelasnya.