Video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didatangi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) itu merupakan kejadian yang berlaku di Afrika Selatan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, susulan penularan video terbabit, seorang wa­nita yang juga merupakan ibu kepada seorang murid tahun 5 di sebuah sekolah di Bangi, Selangor tampil membuat laporan polis semalam.

Ujarnya, wanita terbabit mendakwa, ketika anaknya bersama dua lagi rakannya berada di luar pagar sekolah, mereka didatangi tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta sebelum menawarkan gula-gula.

“Berikutan itu, anak mangsa bersama dua rakannya melarikan diri daripada kumpulan tersebut selain mendakwa mereka turut dikejar suspek.

“Siasatan lanjut telah dilakukan di sekolah terbabit dan berdasarkan ketera­ngan saksi bebas yang berada di tempat kejadian, mereka tidak mengetahui kejadian sebagaimana dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir memberitahu, semakan di lokasi kejadian turut mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

“Semakan ke atas rakaman CCTV yang tular dalam media sosial yang dikaitkan dengan kejadian tersebut juga mendapati bukan rakaman di sekitar kawasan dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, pihak kita amat peka dengan laporan polis yang dibuat serta maklumat disalurkan oleh orang awam. Tindakan proaktif akan diambil dengan meningkatkan rondaan di sekitar kawasan kejadian dan sekolah berkenaan,” jelasnya.

Tular di aplikasi WhatsApp hari ini mengenai dakwaan seorang murid sekolah di Bangi hampir diculik sekumpulan lelaki.

Wanita terbabit turut berkongsi maklumat mengenai kejadian dengan memuat naik satu kenyataan dalam laman sosial dan meminta ibu bapa supaya berhati-hati.