Ketua Polis Daerah, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, kegiatan jenayah dilakukan suspek kira-kira pukul 4.30 petang itu telah disedari oleh jiran mangsa lalu menghubungi polis yang membawa kepada penahanan suspek.

Katanya, jiran mangsa menyedari kejadian itu apabila terdengar dan melihat salah seorang suspek cuba mengumpil pintu belakang rumah berkenaan.

“Sebaik sahaja menyedari kejadian di rumah yang tiada penghuni ketika itu, jiran terbabit segera menghubungi polis.

“Pasukan kereta peronda (MPV) kemudian bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan dua rakan penjenayah suspek di tempat berasingan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 24 tahun.

Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti sepana boleh laras, pemutar skru dan pisau lipat.

Selain itu, katanya, turut dirampas ialah wang tunai RM95.50, beberapa unit telefon bimbit, kunci, beg galas, jam tangan, mata wang asing, resit pajak gadai, jaket dan kasut dipercayai hasil pecah rumah.

“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan sehingga 31 Ogos ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE