Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, dalam operasi pada pukul 2 pagi itu, anggota APMM menahan sebuat bot gentian kaca atau bot pancung kerana keadaannya yang mencurigakan.

Menurutnya, bot itu ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika dari Muara Sungai Bernam, Hutan Melintang.

Kata beliau, empat suspek yang menaiki bot pancung tersebut melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan bot ronda Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 59,600 kotak rokok kretek jenama Surya dan 7,000 kotak rokok kretek jenama Nusantara dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM1.2 Juta termasuk sebuah bot dan tiga biji enjin,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Wan Mat, hasil risikan dari pihaknya mendapati penyeludupan rokok itu dipercayai didalangi oleh warga asing dan tempatan.

“Jumlah penyeludupan rokok yang besar ini dipercayai untuk pasaran negeri Perak dan Selangor,” katanya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Wan Mat berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi pemantauan yang disyaki menjadi laluan penyeludup di kawasan hot spot supaya kegiatan ini dapat dibanteras. - UTUSAN ONLINE