Dalam Op Gelora Khas yang dijalankan kira-kira pukul 10.30 malam itu, sebanyak 101 tong berisi 3,030 liter minyak petrol bersubsidi, tiga bot serta sembilan unit enjin pam dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM9,596 turut dirampas.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika serbuan, pihaknya menemukan dua bot dengan muatan masing-masing 30 liter minyak petrol berada di atas jambatan perkampungan atas air.

Menurut beliau, bagaimanapun, tiada individu yang tampil mengaku pemilik bot serta minyak-minyak tersebut.

“Sebuah lagi bot didapati bergerak menuju ke arah laut dipercayai cuba melarikan diri namun kita berjaya memintasnya dan terdapat dua lelaki telah terjun ke laut. Usaha mencari dan mengesan kedua-duanya tidak berjaya kerana pengelihatan terhad dan cuaca gelap.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Pajeri, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki dipercayai warga asing berusia 17 hingga 22 tahun yang mengaku sebagai penumpang.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut ditemukan sebanyak 53 tong berisi 30 liter minyak petrol bersubsidi dan siasatan mendapati bot tersebut dipercayai untuk menuju ke Filipina.

“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.- UTUSAN ONLINE