Suspek berusia 30-an ditahan kira-kira pukul 11.30 malam dalam satu sekatan jalan raya ketika dia menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semasa kejadian suspek berada dalam keadaan mencurigakan dan dia bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan dengan anggota Aksem ketika cuba ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang berasal dari Pandamaran, Klang, Selangor membawa sebuah beg sandang mengandungi beberapa peralatan mencurigakan.

“Selepas disoal siasat, dia me­ngaku ingin meletupkan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan pondok kawalan Aksem,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara pemangku jawatan itu, Superintenden Moha­med Zulmazi Che Daud dengan Ketua Polis daerah yang baharu iaitu Superintenden Ab. Rashid Mat Daud.

Ab. Rashid sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Pahang.

Hasanuddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang yang dibawa suspek menemukan lima plastik bijian, satu plastik serbuk kuning, sebilah pisau, gunting, pemutar skru, lilitan wayar tembaga, bateri dan pasport miliknya.

“Setakat ini kami sedang me­lakukan siasatan lanjut sama ada suspek ini terlibat dengan sebarang kumpulan pengganas atau mengalami masalah berkaitan kesihatan mental.

“Ujian saringan pula mendapati suspek positif dadah jenis metham­phetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya,” katanya.