Justeru kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) supaya elemen keganasan itu tidak merebak.

“Kita sedang mengumpul maklumat mengenai kegiatan kumpulan ektremis Muslim dari Rakhine yang dipercayai cuba menjadikan wilayah itu sebagai satu lagi pusat operasi pengganas Daesh di rantau ini.

“Mereka ini tidak merekrut anggota dari etnik Rohingya, namun cuba menjadikan Rakhine sebagai lokasi untuk meneruskan perjuangan Daesh di rantau ini.

“Kita tidak mahu ancaman seperti ini menyusup masuk ke Malaysia dan kita sudah memaklumkan kepada pihak ESSCOM supaya sentiasa mempertingkatkan kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara 2018 Kontijen Perlis di Mes Pegawai Kanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya sedang memantau beberapa kawasan di Sabah seperti Tawau, Sandakan dan beberapa daerah yang dikesan dijadikan sebagai lokasi transit pengganas Daesh yang mahu menyusup ke selatan Filipina.

Katanya, kawalan berterusan akan dipertingkatkan kerana pihaknya mendapat maklumat bahawa pengganas cuba menjadikan kawasan selatan Filipina sebagai lokasi baru pengganas Daesh beroperasi.

“Kita sedang memantau jika sekiranya ada antara elemen keganasan menerusi kumpulan militan Daesh yang hendak menyusup dan menjadikan beberapa daerah di Sabah sebagai kawasan transit untuk masuk ke selatan Filipina.

“Kita tidak mahu elemen ini menjadi masalah di Sabah kerana kita tahu pengganas Daesh di Syria dan Iraq kini sedang menghadapi masalah untuk beroperasi dan cuba menjadikan selatan Filipina sebagai kawasan operasi baharu mereka,” katanya.

Ahad lalu, kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan dua serangan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang di gereja Katolik Filipina.

Serangan yang berlaku di kepulauan majoriti Islam di selatan Filipina itu turut mencederakan 81 orang termasuk anggota tentera dan disifatkan terburuk sejak beberapa tahun lalu di rantau bergolak sejak sekian lama. - UTUSAN ONLINE