Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari apabila suspek berusia lingkungan 50-an, dipercayai warganegara China datang ke kedai emas berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas yang dijual di situ.

“Suspek kemudian meminta seorang jurujual berusia 45 tahun mengeluarkan sebentuk cincin berlian jenis ruby seberat lima karat untuk mahu melihat cincin permata itu terlebih dahulu.

“Selepas kira-kira 20 minit suspek melihat cincin itu, dia menyatakan tidak mahu membeli sebelum menyerahkan kembali barang kemas berkenaan kepada jurujual sebelum terus beredar dari kedai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, jurujual itu kemudian meminta rakan sekerjanya membuat ujian ketulenan kerana dia perasan terdapat sedikit perbezaan terhadap cincin berlian yang diberikan oleh suspek berkenaan.

“Jurujual berkenaan cuba untuk mengejar suspek namun gagal kerana dipercayai sudah melarikan diri. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sejurus selepas kejadian,” katanya. - UTUSAN ONLINE