Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zulkifli bermula hari ini sehingga 17 Februari depan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurut sumber, suspek yang berusia 34 tahun ditahan di pejabatnya di Taman Kajang Sentral pada pukul 11.55 pagi semalam selepas menerima laporan daripada seorang pengadu yang juga mangsa penipuan suspek.

"Mangsa dikatakan telah memasukkan wang berjumlah RM27,133 ke dalam akaun bank milik syarikat pelancongan suspek selepas dijanjikan penerbangan dan percutian ke Turki dan Paris pada 7 Februari lalu.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akibat ditipu oleh sebuah agensi pelancongan milik suspek. Hasil soal siasat, suspek mengakui kenal mangsa dan 40 individu lain yang turut ditipu," katanya di sini hari ini.

Pada 9 Februari lalu, akhbar melaporkan, impian kira-kira 120 individu untuk menikmati percutian ke benua Eropah lebur selepas mereka terkandas di KLIA, Sepang.

Kesemua mereka dipercayai ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.

Kesemua mangsa yang tiba dari negeri di utara dan selatan tanah air turut mengalami kerugian lebih RM810,000 selepas dimaklumkan nama mereka tiada nama senarai penumpang untuk pener­bangan ke Turki, Paris serta Santorini.

Selain itu, tiada wakil agensi pelancongan berkenaan di lokasi sebaliknya rata-rata mangsa yang menunggu sejak tengah hari telah menerima panggilan pada pukul 9.35 malam daripada agensi itu memaklumkan penerbangan mereka dibatalkan. - UTUSAN ONLINE