Antara faktor yang menyebabkan mangsa mudah melakukan transaksi kewangan adalah perasaan cemas dikenakan tindakan undang-undang meskipun tidak me­lakukan kesalahan dan gelap mata apabila ditawarkan pulangan lumayan.

Dalam kes terbaharu di ne­geri ini, seorang suri rumah di Sungai Ruan, Raub dekat sini kerugian sebanyak RM236,900 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menawarkan pulangan sebanyak RM3.2 juta, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supe­rintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 33 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita pada 22 Oktober lalu mendakwa dia memenangi hadiah wang tunai RM216,240.

“Mangsa diyakinkan oleh suspek kononnya dia berjaya mendapat hadiah itu selepas dipilih oleh syarikat yang beroperasi di Hong Kong.

“Bagaimanapun, untuk mendapatkan hadiah wang tunai berkenaan, mangsa diminta membayar RM6,860 untuk pro­ses tuntutan. Mangsa kemudian membuat bayaran berkenaan ke dalam satu akaun yang diberi suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, selepas bayaran tersebut dijelaskan, suspek memberikan pelbagai alasan dan meyakinkan mangsa bahawa wang itu di­laburkan serta dia bakal menjadi jutawan.

“Mangsa yang gelap mata dengan wang sebanyak itu (RM3.2 juta) kemudian membuat transaksi sebanyak sembilan kali ke empat akaun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM236,900.

“Dia yang menyedari ditipu selepas didesak lagi membuat bayaran segera membuat laporan polis semalam,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ujar Mohd. Wazir, polis sentiasa berusaha menyedarkan masyarakat supaya tidak mudah terperdaya dengan sindiket berkenaan, antaranya dengan menyiarkan kes seumpamanya di media massa agar dijadikan pengajaran.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak mudah terperdaya dengan hanya satu panggilan telefon,’’ katanya.