Dalam serbuan pukul 1.30 petang itu, kesemua individu berusia 17 hingga 49 tahun itu ditahan oleh pasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 212 komputer dan 20 buah komputer riba telah dirampas.

Ujarnya, selain itu, turut dirampas iaitu 93 telefon bimbit, sembilan buah router dan modem internet (7).

“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan dipercayai telah menerima pertaruhan RM2,000 dalam masa sehari.

“Kebanyakan kaki judi yang disasarkan adalah pelanggan dari negara China,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Mazlan, kesemua suspek ditahan reman sehingga 4 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 serta boleh dipenjara tidak lebih lima tahun. - UTUSAN ONLINE