Tertuduh berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dari Sungai Isap di sini didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun 6 bulan bertempat di rumahnya di sini pada 3 Ogos lalu kira-kira pukul 4 petang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Farahah Mohd. Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding kes berkenaan, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada mangsa.

Tertuduh yang berpendapatan RM2,500 sebulan bagaimanapun memohon supaya dia dibenarkan jamin memandangkan dia perlu bekerja untuk menanggung isteri dan anaknya.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 4 Oktober depan. - UTUSAN ONLINE