Mayat lelaki dipercayai warga Indonesia berusia lingkungan 30-an itu dijumpai oleh pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 3.30 petang, kira-kira 10 meter dari tebing dia dikatakan terjatuh berhampiran lokasi tapak Eye On Melaka di jeti marina Muara Sungai Melaka.

Difahamkan, sebelum kejadian tapak pembinaan tempat lelaki itu bekerja diserbu pasukan Jabatan Imigresen pada pukul 12.40 tengah hari.

Mangsa yang panik kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan sungai berdekatan sebelum dia dilaporkan hilang.

Difahamkan, isteri lelaki itu yang juga warga Indonesia turut berada di tapak pembinaan tersebut ketika serbuan dan ditahan kerana tidak memiliki permit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memaklumkan, 11 anggota dan pegawai dari Balai Jalan Kubu bergegas ke lokasi serbuan itu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.09 petang. - UTUSAN ONLINE