Lelaki berusia 33 tahun yang memandu kereta Proton Saga itu ditahan pada pukul 2.50 petang untuk pemeriksaan oleh kereta peronda polis (MPV) setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek itu pada mulanya tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan susulan di dalam kenderaan tersebut menemukan 23 bungkus plastik hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum.

“Plastik berisi daun dipercayai daun ketum yang diletakkan di but kenderaan tersebut dianggarkan seberat 115 kilogram.

“Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu ditahan dan dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama barang yang dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 4 Jun depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE