Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Canthi Cantupa, 41, dan anaknya, Pipop Cantupa, 18, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapannya.

Beliau memerintahkan dua beranak berkenaan dipenjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak mulai tarikh tangkapan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya secara bersama didakwa menyimpan 13 jerat di hutan simpan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang, pada 21 Jun lalu.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidup Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 68 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana secara bersama menyimpan dua ekor kura-kura duri bukit yang merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Zaitul Hazlin Mat Jusoh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Perhilitan dalam satu kenyataan di sini memberitahu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan memburu hidupan liar secara haram dan pemasangan jerat sama ada dalam kawasan taman negara atau pun hutan.

Menurut Pengarahnya, Rahmah Ilias, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pesalah dan pihaknya sentiasa komited serta proaktif dalam mengesan dan menumpaskan pencerobohan Taman Negara.

“Diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan membantu menjadi mata dan telinga Perhilitan melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah alam negara supaya tidak diancam kepupusan.

“Maklumat boleh disalurkan di hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.-UTUSAN ONLINE