A. Mohanraj, 42, menerima hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan se­mula kes di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali dan diperintahkan dipenjara bermula dari tarikh tangkapan pada 14 September tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohanraj didakwa dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor ku­cing bunting di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, pukul 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 16 September tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibu­at mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta agar hukuman ringan dikenakan atas alasan perlu menanggung isteri dan menjaga ibu yang sakit, namun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhid­matan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd. Isa, memohon agar hukuman dikenakan kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

Menurut Roslan, tertuduh seharusnya melindungi binatang yang tidak berdosa dan mendatangkan bahaya.

“Perbuatan menganiaya dan menzalimi haiwan adalah sikap yang tidak boleh diterima oleh masyarakat,” jelasnya.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie serta dihadiri
Pengarah Penguat Kuasa JPV Malaysia, Zaharinan Abd. Aziz.