Motif mangsa, Dharma Raj, 34, diperlakukan begitu masih dalam siasatan tetapi ia berkemungkinan besar ada kaitan dengan dadah, dendam dan juga gengsterisme.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa telah ditetak menggunakan parang sepanjang 61 sentimeter (cm) oleh suspek berusia 35 tahun.

Katanya, berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mangsa sebelum itu datang bersama suspek ke Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran, Jalan Kampung Jawa, dengan menaiki motosikal Jenis Honda EX5.

"Tidak lama kemudian, beberapa orang awam di kawasan tersebut melihat suspek telah mengejar mangsa dengan parang panjang itu sebelum kembali ke motosikal seorang diri sebelum melarikan diri.

"Orang awam yang kemudiannya pergi kawasan itu menemukan mangsa berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan di muka, tangan dan kaki," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Baharudin, tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat mangsa dan jarak dia dibunuh adalah kira-kira 30 meter dari kuil tersebut. Pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang juga adik kepada suspek utama.

"Soal siasat terhadap lelaki itu membawa kepada penangkapan suspek utama pada pukul 11.20 pagi dan kita juga berjaya menemui parang yang digunakan dalam pembunuhan tersebut," jelasnya.

Baharudin menambah, hasil semakan juga mendapati suspek utama mempunyai pelbagai rekod jenayah selain baharu tiga bulan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan dadah.

"Ujian air kencing terhadap suspek utama juga positif syabu dan kedua-duanya iaitu suspek serta mangsa adalah penganggur dan penagih dadah," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE