Komandernya, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat diberikan oleh orang awam, disusuli risikan yang dijalankan oleh anggotanya.

Katanya, bertindak atas maklumat yang dikumpul, sepasukan anggotanya telah menyerbu kilang terbabit pada pukul 1.30 petang.

“Keadaan di kilang bata terbabit menimbulkan curiga kerana terdapat lori dilihat keluar masuk sedangkan premis tersebut sudah tidak lagi beroperasi.

“Hasil pemeriksaan, terdapat tiga kontena kosong dan empat lagi kontena berkunci disimpan di kilang berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sidang akhbar mengenai Persiapan Ke­selamatan Forum Ekonomi Islam Dunia Ke-13 (WIEF) bersama Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Amer Awal di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut kes rampasan itu, Salehuddin berkata, setelah kontena berkunci terbabit dibuka, tiga daripadanya didapati mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api serta arak jenama ‘TSING TAO’ yang disyaki diseludup.

Beliau berkata, anggotanya turut melakukan intipan selama beberapa jam di kilang itu bagi mengesan suspek, tetapi tiada sesiapa yang datang ke premis ber­kenaan.