Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof (gambar) berkata, selain kerjasama strategik berkenaan, pelbagai program juga telah dan akan dijalankan oleh pihak sekolah.

“Kita terus menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari semasa ke semasa bagi membendung gejala buli dan gengsterisme,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pihak polis semalam menahan sembilan anggota Geng 24 atas penglibatan mereka dalam kumpulan kongsi gelap.

Tangkapan terbaharu itu menjadikan sebanyak 27 anggota kumpulan itu telah berjaya ditahan setakat ini.

Ditanya sekiranya kes melibatkan buli di sekolah ketika ini mening­kat, Khair berkata, kes melibatkan gejala itu dilihat tidak meningkat tetapi juga tidak berkurangan.

Jelas beliau, apa yang penting adalah kes-kes tersebut disiasat untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya.

“Terdapat juga kes yang dikatakan buli tetapi sebenarnya adalah pergaduhan antara pelajar. Kita melihat, semua ini memerlukan siasatan dan kita perlu me­nyiasat kesemuanya,” katanya.