Lebih malang, seluar mangsa turut ditanggalkan oleh salah seorang suspek manakala seorang lagi suspek pula bertindak merakam gambar mangsa dalam keadaan separuh bogel sebelum menularkan rakaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku ketika pengadu yang juga seorang remaja lelaki berusia 15 tahun itu sedang berniaga minyak petrol di dalam botol di tepi jalan.

Menurut Anbalagan, mangsa bagaimanapun hanya menyedari gambarnya disebarkan keesokan harinya hingga berasa malu dan tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

"Berdasarkan siasatan, pengadu iaitu mangsa dikatakan mengenali kesemua suspek dan mereka sering mengganggunya sebelum ini.

"Rakaman video yang mengaibkan itu pula dipercayai dihantar dengan menggunakan aplikasi Whatsapp," katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, kelima-lima suspek berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun dengan hanya seorang daripada mereka sahaja yang sudah tidak bersekolah.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan bagaimanapun mendapati, kesemua suspek bebas daripada pengaruh dadah.

"Ketika ini, polis telah merampas tiga buah telefon bimbit yang digunakan untuk tujuan itu dan kesemua remaja berkenaan juga telah mengaku melakukan perbuatan tersebut," katanya yang memberitahu, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan akibat perbuatan itu.

Tambah Anbalagan, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - UTUSAN ONLINE