Operasi yang bermula pada pukul 9.30 malam itu dilaksanakan bersama Unit Pemusnah Bom (UPB), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB); Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengesan warga asing yang disyaki memiliki dokumen palsu, dokumen yang dilaporkan hilang dan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang bergerak di Syria dan Iraq.

"Operasi dilaksanakan di Cyberjaya kerana kawasan ini merupakan lokasi tumpuan terutamanya bagi warga asing dari negara Asia Barat dan Nigeria selain turut berisiko untuk berlakunya aktiviti keganasan.

"Jumlah warga asing yang ditahan untuk proses dokumentasi akan dimaklumkan selepas operasi tamat, mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk semakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.

Menurut Ayob Khan, warga asing yang dibawa ke IPD Sepang akan melalui proses semakan secara menyeluruh bagi memastikan mereka bebas daripada melakukan sebarang kesalahan atau melanggar undang-undang negara.

"Sebanyak 200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi bersepadu ini dan mereka turut dilengkapi dengan alat pengesan radio aktif untuk mengesan bahan letupan yang menggunakan sinar gama dan neutron," katanya.-UTUSAN ONLINE.