Sebaliknya menurut satu sumber berkata, pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan ketiga-tiga premis berkenaan tidak menjadi `lubuk jenayah’ ialah pihak yang mengeluarkan lesen.

"Kalau pihak yang mengeluarkan lesen seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah betul-betul melakukan pemantauan tidak mungkin premis tersebut boleh menjalankan kegiatan haram.

"Tetapi masalahnya, jabatan terlibat hanya tahu mengeluarkan lesen tetapi pemantauan entah ke mana, sebab itulah pemilik-pemilik premis berkenaan 'bermaharajalela," kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber itu berkata, sepatutnya PBT atau pejabat daerah perlu memastikan semua premis itu benar-benar bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan bukannya hanya bijak meluluskan pemohonan atau memperbaharui lesen.

"Sepatutnya sebelum sesuatu lesen diperbaharui, contohnya PBT atau pejabat daerah merujuk dahulu dengan pihak polis bagi memastikan premis terlibat tidak mempunyai sebarang rekod, tetapi apa yang berlaku ada sesetengah premis walaupun sudah berkali-kali diserbu masih juga beroperasi.

"Keadaan itu berlaku kerana kedua-dua jabatan terlibat tidak serius bagi memastikan sama ada kelab malam, pusat hiburan keluarga atau pusat karaoke mematuhi syarat-syarat lesen," katanya.

Tegas sumber tersebut lagi, walaupun membanteras kegiatan jenayah tanggungjawab polis tetapi aktiviti haram tidak akan berlaku di premis-premis terlibat jika awal-awal lagi pihak yang mengeluarkan lesen benar-benar tegas.

"Janganlah bila ada masalah dan segala kegiatan haram di premis itu terdedah, kita mahu salahkan polis pula, sedangkan kalau daripada awal-awal lagi pemilik-pemilik premis dipastikan mematuhi peraturan dan syarat lesen, istilah 'lubuk jenayah’ tidak akan wujud," katanya.

Sehubungan itu sumber tersebut menegaskan, adalah wajar PBT mahupun pejabat daerah benar-benar melaksanakan pendekatan Strategi Lautan Biru (NBOS) melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain.

"Setakat ini pendekatan NBOS itu tidak berlaku atau seolah-olah tidak dilaksanakan oleh jabatan tersebut dan kelemahan ini perlu diperbaiki bagi mengelakkan premis-premis berkenaan terus menjadi `lubuk jenayah," katanya.