Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu yang dilaporkan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu sebenarnya pegawai awam yang ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM).

“Hasil siasatan mendapati individu itu bukanlah pegawai polis dari Cawangan Khas.


“Individu itu juga telah berhenti daripada tugasnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.


Menurut Mohamad Fuzi, setakat ini pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.


“Kita akan rujuk dengan pihak Timbalan Pendakwa Raya. Sekiranya ada keperluan untuk keluarkan waran kita akan berbuat demikian,” katanya.


Pada 3 April lalu, Suhakam mengeluarkan satu laporan susulan inkuiri 18 bulan berhubung beberapa kes kehilangan orang.

Laporan itu menyimpulkan bahawa polis Cawangan Khas terbabit dalam kehilangan Raymond dan Amri.

Prosiding inkuiri itu diketuai oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai, seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan.- UTUSAN ONLINE