Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisoner, Fadzil Ahmat berkata, pihaknya kini telah membuka dua kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Kertas siasatan dibuka susulan daripada beberapa laporan polis dibuat terhadap Dr. Mahathir.

“Kita akan panggil beliau dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan. Berilah kita masa untuk siasat dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan itu menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Dalam perhimpunan itu, beliau turut menyamakan Najib daripada keturunan sama sebagai penyangak dan pencuri.

Susulan itu, lebih 100 laporan polis dibuat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri bagi menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap Dr. Mahathir.

Pada 2 November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa murka terhadap tindakan Dr. Mahathir yang dianggap keterlaluan selain boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk masyarakat terhadap etnik itu.