NUR AINA NABIHAH MUHAMMAD ABDULLAH
NUR AINA NABIHAH MUHAMMAD ABDULLAH

Kanak-kanak malang ber­kenaan, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, kira-kira pukul 12.30 te­ngah malam tadi.

Lebih menyedihkan, hasil bedah siasat ke atas Nur Aina Nabihah mendapati mangsa mengalami kerosakan buah pinggang, patah rusuk kiri dan kanan selain usus koyak dipercayai akibat dipukul.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, kanak-kanak itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya di rumah mereka di Taman Vista Jaya Lukut di sini pada pukul 11.30 malam sebelum dihantar ke HTJ.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh kanak-kanak itu menemukan kesan lebam manakala hasil bedah siasat mendapati organ dalamannya cedera.

“Berdasarkan rekod polis, kanak-kanak itu pernah diambil oleh ibu kandungnya daripada jagaan bapanya pada 23 Jun tahun lalu.

“Ini berikutan, wanita ber­kenaan mengesyaki anaknya menjadi mangsa dera suami dan isteri baharunya kerana terdapat kesan lebam di tubuh kanak-kanak itu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut kes terdahulu, Zainudin berkata, kejadian itu dilaporkan kepada polis dan bapa kanak-kanak itu mengaku memukul mangsa, tetapi memberi alasan berbuat demikian dengan tujuan mendidiknya.

“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya tetapi tiada tindakan lanjut atas alasan suspek memukul kerana ingin mengajar mangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Zainudin berkata, polis menahan bapa mangsa di bilik mayat HTJ manakala ibu tiri kanak-kanak itu berusia 30-an ditahan di kem tentera di Rasah, Seremban bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.

Menurut beliau, difahamkan mayat kanak-kanak itu akan dibawa ke Ipoh, Perak, untuk urusan pengebumian.