Difahamkan, mangsa yang pengsan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital itu pada 1 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, doktor yang merawat mangsa mendapati ada kesan lebam di beberapa bahagian badan budak lelaki itu.

Ekoran penemuan itu, tambahnya, doktor berkenaan membuat laporan di Balai Polis Taman Perling.

“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

“Doktor telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki itu dan punca kematian adalah blunt force trauma to the abdomen,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan bapa dan ibu tiri mangsa bagi membantu siasatan di rumah mereka di Taman Sentosa pada 11 pagi ini.

Mohd. Afzanizam berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superitenden Fazly Ishak di talian 017-3090385,” katanya. - UTUSAN ONLINE