Ketua Polis daerah, Superintenden Shariffuddin Yusuf berkata, wanita berusia 29 tahun dari Johor Bharu, Johor itu ditahan di pekarangan balai polis tersebut kira-kira pukul 3.40 petang.

“Dalam soal siasat awal yang dijalankan terhadapnya, wanita itu mendakwa dia datang dari Kulim ke daerah ini untuk membawa bapanya berubat di Kupang sebelum datang ke stesen minyak itu untuk membuang air besar.

“Semasa dalam tandas, dia melahirkan seorang bayi lelaki. Ekoran daripada itu, dia mendakwa menyerahkan bayi berkenaan kepada pekerja stesen minyak terbabit dan memberitahu akan datang semula untuk menguruskan anaknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Begitu pun katanya, setelah mengambil bapanya yang selesai berubat di Kupang, suspek mendakwa terus pulang ke Kulim dan tidak berdaya untuk kembali ke Baling bagi menguruskan anaknya itu.

“Hanya pada pukul 3 petang semalam, barulah dia kembali ke stesen minyak tersebut dan berjumpa dengan pekerja terlibat. Pekerja itu memaklumkan yang dia membuat laporan polis menyebabkan wanita tersebut datang ke balai,” katanya.

Tambahnya, wanita itu mendakwa mengandung pada April 2017 hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya berusia 27 tahun yang tinggal di Johor.

“Dia mendakwa hubungan itu sudah putus namun mereka masih berkawan. Ahli keluarganya pula didakwa langsung tidak mengetahui tentang segala yang berlaku.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan wanita itu kini di bawah jaminan polis kerana berada di wad Hospital Baling untuk menjalani rawatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE