Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu ditahan kira-kira pukul 4.43 petang kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) iaitu melanggar syarat sah lesen.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 35 tahun dan dua kru lelaki warga Thailand berumur 20 dan 25 tahun berada di atas bot tersebut.

“Bot itu juga dikesan menggunakan kru warga asing selain melakukan kesalahan tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

“Sehubungan itu, bot berkenaan bersama satu gulung pukat hanyut serta tekong dan dua kru diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamizan menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di perairan negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. - UTUSAN ONLINE