Pengarahnya, Amran Daud berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, dipercayai lebih 10 warganegara Bangladesh cuba diseludup masuk namun kesemuanya sempat melarikan diri ke dalam hutan paya bakau Bagan Lalang sebelum bot tersebut ditahan.

“Hasil bantuan dan maklumat dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang berpangkalan di Lumut, Perak, bot Maritim Malaysia Petir 84 bergegas menuju ke lokasi dan mengesan sebuah bot gentian kaca di perairan tersebut.

“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa APMM, bot tersebut memecut laju dan menuju ke Bagan Lalang, Selangor sebelum ditahan namun tekong dan awak-awak berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amran, pemeriksaan awal ke atas bot berwarna hitam itu mendapati tiada nombor pendaftaran selain menggunakan dua enjin jenis Yamaha 200 kuasa kuda.

“Pihak kami mengesan bot tersebut di laluan Skim Pemisah Lalulintas (TSS) sebelum mengarahkannya berhenti dan memberi kerjasama namun terus memecut laju sehingga terkandas di kawasan paya bakau.

“Bot itu kemudian ditambat di Jeti APMM yang berpangkalan di Kuala Linggi, Melaka sebelum diserahkan kepada Pegawai APMM Negeri Sembilan / Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, bot tersebut ditahan kerana disyaki digunakan menyeludup PATI dan siasatan dilakukan dibawah Akta Kastam 1967. - UTUSAN ONLINE