Turut ditemukan hasil pemeriksaan lanjut sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di rumah itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam adalah dua pucuk pistol termasuk sepucuk buatan sendiri dan hampir 400 butir peluru hidup pelbagai jenis.

Menurut Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, bom tangan itu ditemukan disembunyikan di dalam kepala katil di sebuah bilik rumah berkenaan dan telah diserahkan kepasa Unit Pemusnah Bom.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas rumah itu dibuat susulan kejayaan pihaknya membongkar kegiatan berkaitan dadah di rumah empat bilik tersebut pada Disember tahun lalu dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di dalam bagasi.

"Rumah berkenaan telah ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan pertama itu dibuat.

"Ketika serbuan pertama itu, polis menemukan lapan bungkus plastik mengandungi 20,470 biji pil Ekstasi bernilai RM716,450 dan 15 bungkus plastik mengandungi serbuk kafein seberat 15,031.2 gram (RM2,850).

"Turut ditemukan adalah balang kaca, botol plastik dan kaca mengandungi cecair disyaki bahan kimia, ketuhar, dapur elektrik, alat pemanas serta sarung tangan getah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, susulan serbuan itu, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE