Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan sumber dana tersebut.

“Apa yang kami tahu ketika ini adalah kegiatan mereka ada kaitan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yaman,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas empat ketua jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Turut diadakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Lapan individu yang ditahan itu merancang menubuhkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan fahaman ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara yang dipelopori tokoh ekstremis, Syeikh Muqbil Hadi Al Wadi’i yang berpengkalan di Dammaj.

Mereka terbabit ialah lima warga Eropah, masing-masing satu warga Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS) serta seorang warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman menerusi serbuan di Perlis, Johor dan Kuala Lumpur.

Semalam, sumber membe­ritahu, enam suspek ditahan di Perlis bagi kes terbabit mendapat sokongan daripada individu yang berpengaruh di negeri itu.

Mengenai individu berpe­ngaruh yang menyokong suspek terlibat, Mohamad Fuzi memberitahu tidak mengetahui tentang perkara itu.

“Saya tidak dapat maklumat tentang individu berpengaruh di Perlis yang menyokong mereka,” ujarnya.