Modus operandi itu dikesan dilakukan pemandu lori terutama yang membawa muatan berlebihan sejak Op Tutup dilancarkan pada Rabu lalu.

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, pemeriksaan mendapati hampir 20 bua lori ditinggalkan tersadai di laluan Seksyen 40, kira-kira 30 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan.

"Kita menyasarkan lori bijih besi yang membawa muatan berlebihan dan mana-mana yang disyaki akan diarahkan untuk ditimbang dalam tempoh ditetapkan.

"Sepanjang Op Tutup yang dijalankan di empat lokasi di seluruh negeri, kita telah memeriksa 100 kenderaan dengan 30 daripadanya diambil tindakan iaitu 19 hadir untuk ditimbang manakala baki 11 lagi gagal berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin.

Op Tutup yang digerakkan secara bersepadu dengan polis dan Roadcare dijalankan secara serentak di tiga lokasi lain iaitu kuari Bukit Diman, Ajil di sini di samping kuari Bukit Yong di Besut dan di Kemaman.

Menurut Zulkarnain, kes akan didakwa mengikut Seksyen 82 dan 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,036 notis arah timbang dikeluarkan JPJ Terengganu di samping 2,111 notis JPJ 22 bagi kesalahan lebih muatan.

"Saya menyeru kepada semua pengusaha lori agar patuh peraturan ditetapkan kerana kesalahan ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan jalan raya malah, turut mengundang bahaya kepada pengguna lain," katanya. - UTUSAN ONLINE