Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita serta seorang lelaki Indonesia berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil antara kerjasama JSJN Johor dan Bukit Aman dengan melakukan serbuan bermula 11 pagi hingga 3 petang di beberapa unit kediaman di Mount Austin di sini.

"Hasil serbuan tersebut kita berjaya menahan tujuh individu termasuk dua wanita selain merampas 15.15 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dibungkus dalam teh cina bagi mengaburi pihak kita.

"Selain itu kita juga menemui 350 gram (g) dadah jenis kokain serta 50.3g dadah jenis ekstasi dan kesemua rampasan dadah ini bernilai RM850,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Lukas berkata, selain rampas dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan antaranya Toyota Velfire, Mercedes-Benz, Honda Civic dan Proton Waja.

Jelasnya, pelbagai barang berharga termasuk barang kemas, jam tangan Rolex bernilai RM45,000, pelbagai mata wang dirampas dan nilai keseluruhan barang rampasan adalah RM429,600.

Katanya, kesemua tangkapan direman sehingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE