Kejadian yang dipercayai bermotifkan cemburu itu terbongkar susulan penahanan suspek dan teman wanitanya serta seorang lelaki lain di sekitar Gerik tiga hari kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek dan teman wanitanya yang masing-masing berusia 41 dan 38 tahun mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, lelaki terbabit kemudiannya membawa polis ke rumah ibunya di Kampung Jong, Gerik dan menunjukkan sepucuk pistol jenis Colts Convenent yang digunakan untuk menembak mangsa dan 35 butir peluru.

“Siasatan mendapati senjata api itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan suspek juga menunjukkan kepada polis lokasi dia membuang dua buah telefon bimbit mangsa di bawah sebuah jambatan di Gerik.

“Motif pembunuhan ini adalah kerana cemburu dan berebutkan wanita yang mana mangsa telah bercerai dengan isterinya yang merupakan teman wanita suspek sejak Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yahya memberitahu, seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun yang turut ditangkap, kini ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan reman tersebut akan disambung lagi bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Kamaruzaman Safri, 38, yang lengkap berpakaian ditemukan orang awam dengan kesan tembakan di kepala, dada dan perut.

Selain mangsa, turut dijumpai berhampiran mayat lelaki itu adalah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE