Menerusi laporan khas minggu ini, wartawan Utusan Malaysia Sabtu, Mohammad Al Faizal Abdul Karim dan Mohamad Athir Ismail membawa kupasan lebih mendalam sebagai perkongsian yang menyedarkan.

 

MENJADI satu kebimbangan apabila kesalahan memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen terus mencatatkan peningkatan setiap tahun. Ini membuktikan masih ramai mengambil sikap acuh tak acuh terhadap undang-undang dan keselamatan jalan raya.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, jumlah saman yang direkodkan berkaitan kesalahan tersebut di sekitar ibu kota pada Januari hingga Jun tahun lalu adalah 14,779.

“Manakala untuk tempoh sama pada tahun ini, sebanyak 17,010 saman telah dicatatkan. Ini menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 2,231 saman.

“Begitu juga saman terhadap kesalahan lesen tamat tempoh yang menunjukkan peningkatan ketara dari 5,106 (Januari-Jun 2016) kepada 6, 951 untuk tempoh sama tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Mohd. Nadzri menambah, penunggang motosikal adalah golongan yang paling banyak melakukan kesalahan tersebut dengan jumlah kes direkodkan sebanyak 18, 576 pada tahun ini.

“Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, penggunaan motosikal adalah tinggi kerana lebih praktikal untuk berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

“Dalam masa sama, kos penyelenggaraan, minyak dan parkir lebih rendah berbanding kereta.

“Disebabkan itu, ramai yang memilih motosikal sebagai alternatif pilihan dan ramai juga yang menunggang tanpa memiliki lesen,” katanya.

Kesalahan memandu tanpa lesen membawa pelbagai kesan buruk terhadap pelaku. Justeru, Mohd. Nadzri mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil ringan soal pemilikan lesen memandu dan pematuhan undang-undang jalan raya.

“Kesannya cukup besar. Sebagai contoh, apabila berlaku kemalangan, pemandu tidak berlesen yang terlibat tidak akan mendapat perlindungan insurans.

“Lebih teruk lagi, apabila berlaku kemalangan yang melibatkan kematian. Justeru, pemilikan lesen adalah amat penting untuk melahirkan pemandu kereta dan penunggang motosikal berkemahiran serta mempunyai kefahaman mendalam terhadap undang-undang jalan raya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi malah akan melipat gandakan operasi keselamatan untuk membanteras kesalahan lalu lintas termasuk pemanduan tanpa lesen.

“Usaha akan dilipat gandakan tahun ini. Operasi sekatan jalan raya akan lebih kerap dilakukan, paling kurang lima hari dalam seminggu.

“Oleh kerana penunggang motosikal menjadi golongan paling ramai tidak berlesen dan sering terlibat dalam kemalangan, maka operasi yang tertumpu kepada golongan ini juga akan dipertingkatkan,” tambahnya.