Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, suspek berusia 23 tahun bertindak mengelar leher abangnya yang berumur 36 tahun menggunakan sebilah pisau dapur berukuran 23 sentimeter.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian itu dipercayai berpunca selepas suspek tidak berpuas hati berikutan abangnya menegurnya kerana tidak membuat kerja mengimpal dan membersihkan besi untuk digunakan bagi membuat pagar yang ditempah pelanggan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mengambil sebilah pisau yang berada di rak kasut rumah mereka dan memeluk abangnya dari arah belakang sebelum mengelar bahagian hadapan leher mangsa.

Ujar beliau, suspek telah bekerja secara tidak tetap sejak dua tahun lalu di bengkel motosikal milik abangnya yang dibuka di hadapan rumah mereka.

"Ketika kejadian terdapat beberapa saksi di bengkel itu yang kemudian segera menghulurkan bantuan termasuk membawa mangsa ke sebuah klinik di Bertam di sini.

"Mangsa menerima tujuh jahitan di leher serta tiada kecederaan serius lain dilaporkan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah, namun mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Butterworth esok bagi tujuan siasatan. - UTUSAN ONLINE