Sebaliknya, apa yang diterima oleh wanita berkenaan adalah kunci automatik pintu masuk kondominium.

Akibatnya, mangsa kerugian RM3,500 ditipu seorang wanita dalam urusan jual beli telefon pintar tersebut dengan harga murah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof, berkata, kejadian bermula 15 Mac lalu apabila wanita itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek yang mendakwa sebagai pelanggannya dan pernah membeli alat solek daripada peniaga itu tahun lalu.

“Suspek memaklumkan kepada mangsa dia ada menjual telefon pintar jenis Iphone dan mangsa berminat untuk membeli dua unit Iphone Xs Max dan dimaklumkan oleh suspek harganya adalah RM3,000 seunit.

“Suspek meminta mangsa membuat bayaran deposit sebanyak RM3,500 terlebih dahulu sebelum telefon pintar itu dihantar kepadanya menggunakan khidmat kurier,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, pada Rabu lalu kira-kira pukul 2 petang, mangsa menerima bungkusan yang dihantar melalui kurier oleh suspek.

“Setelah mangsa membuka bungkusan berkenaan terdapat satu beg kecil dan didalamnya ada kunci automatik pintu masuk kondominium, bukan telefon pintar yang pengadu beli,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut semalam. - UTUSAN ONLINE