Tertuduh, Yap Keng Tak, 59, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Dia dituduh memperdayakan mangsa, Liew Yiin Yng, 33, apabila berjanji akan mendapatkan RMMJ sehingga wanita itu menyerahkan wang sebanyak RM25,000 sebagai komisen, namun gagal berbuat demikian.

Keng Tak didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 1.30 petang di sebuah bank di Taman Nusa Bestari, Jalan Bestari 2/2, Taman Nusa Bestari, 3 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga calon Bebas yang bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam rayuannya meminta mahkamah supaya meringankan hukumannya memandang dia sudah berusia dan mempunyai tanggungan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap tertuduh mulai hari ini dan denda sebanyak RM2,500 serta sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara selama sebulan. - UTUSAN ONLINE