Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh, Thai Wai Kuan, 51, dipenjara selama enam bulan bagi kesemua pertuduhan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memalsukan dokumen ‘weighing slip’ Siputeh Sawit Sdn. Bhd. serial no: 00000000 dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu syarikat Camfill Farr Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Strategic Metalpac Sdn. Bhd. dalam daerah Kinta pada 4 Januari 2011.

Bagi pertuduhan kedua sehingga keenam, tertuduh didakwa memalsukan dokumen sama dengan niat serupa di tempat sama antara 28 Jun 2011 sehingga 15 Januari 2013.

Kesemua pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd Fadly Hashim yang mewakili tertuduh, memohon supaya hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan kerana tertuduh telah insaf dengan perbuatannya selain telah menutup syarikat berkenaan dan kini bekerja sebagai ejen insurans tanpa pendapatan tetap.

Selain itu katanya, tertuduh merupakan satu-satunya anak menjaga ibunya yang menghidap penyakit Parkinson selain menanggung seorang isteri dan anak.

“Walaupun tidak dinyatakan anggaran kerugian, namun secara kasarnya kerugian dianggarkan bernilai RM12,000 bagi kesemua pertuduhan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, R. Kumuthambal. - UTUSAN ONLINE