Wong Chi Sing, 54, dan Mohd. Haffiz Mohd. Rasdin, 32, masing-masing dari Melaka dan Kelantan mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan berkenaan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Chi Sing dan Mohd. Haffiz didakwa menipu Liw Chong Liong, 57, dengan menawarkan projek pajakan tanah untuk tanaman kelapa sawit di Tanah Merah, Kelantan yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa men­yerahkan cek dan draf bank yang kesemuanya berjumlah RM576,500.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Taman Malim Jaya dan Taman Paya Emas, di sini antara 20 Oktober 2014 dan 30 April 2016.

Ketujuh-tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Mohd. Haffiz dan Chi Sing turut didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas wang bayaran berjumlah RM1.3 juta yang diterima daripada Bong Fook Hin, 51, bagi tujuan projek pajakan tanah untuk tanaman getah di Hutan Simpanan Kekal Ulu Galas, Kuala Krai, Kelantan antara 24 Oktober 2012 dan 27 Januari 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Bagi satu lagi pertuduhan, ke­dua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan surat bertajuk Pelesenan Kawasan Projek Peningkatan Stok Dirian Dengan Pelbagai Spesies Dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Terosot bertarikh 16 Januari 2012 yang diketahui palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Chi Sing dan Mohd. Haffiz pada Mei 2013 di Jalan Tanah Wakaf, Bertam Ulu di sini dan jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda mengikut Seksyen 471 Kanun Ke­seksaan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran. Sebutan semula kes ditetapkan 4 Oktober ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid dan J. Armadas.