Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Seksyen, Ahmad Ta­judin Zain di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek yang berusia 50 tahun itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 7 malam.

‘‘Kita siasat kes ini sebagai kesalahan cabul dan bukan rogol. Saya berharap pihak-pihak tertentu yang membuat dakwaan berkenaan supaya lebih memahami undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas berhubung dakwaan polis tidak menyiasat kes itu de­ngan teliti, Anuar berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas ke­rana siasatan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dalam sidang akhbarnya bersama mangsa mem­persoalkan mengapa polis tidak mengambil seluar pendek yang dipakai mangsa ketika kejadian yang didakwa mempunyai kesan tompokan air mani suspek sebagai bukti kes berkenaan.

Mangsa yang dikenali sebagai Tan, 21, sebelum ini membuat laporan selepas didakwa dicabul oleh lelaki berkenaan yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kejadian 6 Julai lalu.

Mangsa mendakwa lelaki itu bertindak mencium serta meraba kemaluannya selain suspek turut dikatakan melakukan onani di hadapan mangsa dan menawarkan sejumlah wang untuk tidur bersamanya.

Tambah Anuar, barang bukti berkenaan akan diambil sekiranya polis memerlukan untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin menjelaskan lelaki berkenaan telah berhenti kerja pada bulan lalu.