Mohamad Faisal Mohamad Sanusi, 31, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-24, tertuduh didakwa melakukan pemalsuan ke atas 24 keping cek Maybank dan Standard Chartered milik Razali, 79, yang berjaya ditunaikan kesemuanya berjumlah RM762,706 dengan niat dokumen tersebut digunakan untuk menipu pihak bank.

Kejadian didakwa berlaku di Maybank Ampang Park dan Wangsa Maju serta Bank Standard Chartered di Jalan Ampang di sini, antara 4 Ogos dan 5 November 2016.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan menyalahgunakan wang RM35,000 melalui sekeping cek milik Razali di Standard Chartered di Jalan Sultan Ismail, di sini pada 31 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan tersebut, Mohamad Faisal didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda. - UTUSAN ONLINE

NUR IZZATI IZZAH NADZI